04 July, 2011

Tidak Perlu Mengikat Perut Untuk Astro


Kita hanya ada satu siaran televisyen satelit. Sudah tentu ianya perlu dilanggan dan bayaran yuran bulanan perlu dijelaskan. Tanpa sebarang pesaing, Astro menjadi monopoli dalam perniagaan jenis ini.

Berdasarkan pada teorinya, ilmu ekonomi menyebutkan monopoli akan menjurus kepada harga yang murah. Ini kerana, keuntungan diraih berdasarkan 'volume' pelanggan dan bukan lagi margin keuntungan. Tetapi, realitinya teori tersebut telah berpusing 360 darjah. Monopoli menjurus kepada kenaikan harga perkhidmatan kerana keyakinan bahawa pelanggan tidak ada pilihan lain dan akan terus kekal dengan perniagaan mereka.

Apabila Astro memaklumkan bahawa penyelarasan harga yuran langganan akan dilakukan pada 11 Julai 2011, pengguna sudah gelisah. Sudah puas memikirkan apakah kaitan di antara harga minyak yang naik ataupun harga gula yang naik, dengan kenaikan harga yuran langganan Astro. Namun, Astro memang mempunyai penjelasan mereka.

Maka, surat pun diedarkan kepada semua pelanggannya dengan menyatakan penyelarasan harga akan menyebabkan kenaikan yuran langganan di antara RM1.00 sehingga RM14.95. Dalam masa yang sama, Astro mencadangkan supaya pelanggan mengambil pakej Super Packs yang ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah daripada harga asal.

Maka, bertempik soraklah pengguna. PPIM mengancam untuk menggerakkan boikot kerana menganggap penyelarasan tersebut adalah membebankan. Sudahlah harga barang dan kos sara hidup terus naik, Astro juga tidak mahu tertinggal dalam pesta naik harga masa kini.

Akhirnya, mesyuarat mingguan kabinet memutuskan bahawa kenaikan yuran langganan Astro tidak dibenarkan sehingga mendapat lampu hijau daripada SKMM. Lega sedikit kelompok pengguna.

Jika diteliti dengan hati yang terbuka, eloklah ditanya pada diri sendiri samada Astro adalah barang keperluan atau semata-mata barang kehendak. Barang keperluan tidak boleh tidak hendaklah disediakan oleh pengguna untuk memastikan asas kehidupan dapat dipenuhi. Namun, barang kehendak hanya perlu dibeli apabila semua barang keperluan sudah dipenuhi serta bajet masih ada untuk diperuntukkan. Soalan samada Astro adalah barang keperluan atau kehendak terpulang kepada setiap pengguna.

Hakikatnya, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa melanggan Astro adalah satu pembaziran semata-mata. Dengan yuran langganan yang tinggi, kita tidaklah mempunyai masa 24 jam setiap hari untuk duduk di depan TV bagi menonton setiap rancangan Astro yang telah dibayar di awal bulan. Sudah tentu kita perlu pergi bekerja atau melakukan urusan lain yang menyebabkan rancangan Astro tidak dapat ditonton.

Jika ada masa sekalipun disebabkan cuti rehat atau memang tidak bekerja, sudah tentulah di rumah tidak akan disediakan TV yang lebih daripada satu unit semata-mata untuk menonton semua saluran Astro secara serentak. Ini bermakna, duit langganan yang dibayar di setiap awal bulan itu tidaklah dimanfaatkan 100% oleh kita sebagai pengguna.

Di sinilah pertimbangan kuasa pengguna harus digunakan sebaik-baiknya. Jika dirasakan tidak sempat menonton semua rancangan yang berbayar itu, maka eloklah dibatalkan langganan atau hanya melanggan pakej yang paling minimum. Biarlah duit yang dibayar itu benar-benar mendapat "value for money" berdasarkan perkhidmatan yang diterima.

Atau dalam kata lain, tidak perlulah kita mengikat perut dengan menghadkan perbelanjaan lain semata-mata untuk memastikan rumah kita dilengkapi dengan siaran berbayar Astro yang belum tentu ada masa untuk menonton semua rancangannya.



5 maklum balas:

Yasri said...

Bila rais Yatim cakap kenaikan Astro tu salah dan mencanggahi undang2 SKMM aku rasa lega sikit...maknanya plan aku utk tuka pakej yg terendah pun akan di"hold"kan dulu..

Realitinya Astro sudah menjadi seakan2 barang keperluan pd masa skg. Cuma kita tau bila hanya satu jer syarikat memonopoli hak bisness maka akan terjadilah perkara spt ini. Pengguna tiada pilihan lain melainkan potong ataupun turun pakej...

Syarikat Telco negara adalah contoh dimana tiada monopoli dlm bidang ini. Memasing bersaing dan menawarkan pakej terbaik tuk para pelanggan..... dan para pelanggan jg bebas memilih hak mereka.

Satu lagi aku rasa kerajaan kena naik tarafkan mutu siaran tv percuma. Cth aku, nama je duduk kt bando..tp kalau tak guna astro..alamatnya berbintik ler tv aku tu..La ni semua jiran2 jg terpaksa amik astro disebabkan perkara ini.

Nizam said...

Koi tak gune Astro pun

Mohamad said...

Setuju dengan pendapat Yasri. Pada masa sekarang banyak benda yang dulunya dianggap sebagai kehendak tetapi akhirnya menjadi barang keperluan, terutamanya handphone. Dan ada yang memiliki lebih dari satu..

Barang keperluan asas makanan, pakaian dan tempat tinggal yang diperlukan oleh manusia untuk terus hidup pun trendnya sudah berubah menjadi kehendak.

Namun dalam kes Astro ini, terpulang kepada pengguna memikirkan. Tetapi jika kita bersatu.. dan sama-sama menjadi pengguna bijak, kita sukar dipermainkan..

Hisyam Muhibah said...

Yasri - saya juga hold dulu :-)

Nizam JD - aok memang terbaeekk

Cikgu Mohamad - saya masih larat kerana tak sempat nak tengok semua rancangan yang sudah dibayar itu

Nafisa81 said...

dah naik dah punnn....mmg rasa nak terminate jer...tapi...semua chanel dah tak clear sekarang ni...kome yang duduk JB ni..dulu2 dapat siaran TV singapore...dapat siaran TV Indon...skang semua siaran yang byk2 dulu tu...dah tak clear...orang kata terganggu akibat satelit astro...tak taulaa

Post a Comment

Powered by Blogger.