09 August, 2011

Menghayati Kelaparan Semasa Berpuasa


Puasa di bulan Ramadan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa yang panjang. Kurang lebih 13 jam tempoh beribadah yang telah ditetapkan oleh syarak. Ini bermakna, selama tempoh itu jugalah kita akan berada dalam tempoh beribadah yang sudah tentu akan mendapat rahmat ALlah SWT.

Terlalu banyak perbincangan boleh dibuat berkaitan ibadah puasa. Salah satunya ialah perkongsian rasa terhadap kelaparan dan kedahagaan. Sebagai orang yang 'cukup makan cukup pakai' sudah tentulah kita jarang-jarang berasa lapar dan dahaga tanpa menemui sebarang makanan untuk makan dan minum. Namun, kita seringkali terlupa atau tidak menyedari memang terdapat saudara-saudara kita yang benar-benar berada dalam kesempitan hidup sehingga hendak makan pun susah.

Kemiskinan dan kesempitan hidup mereka menjadi lebih menyedihkan apabila lapar dan dahaga itu sudah sebati dalam diri mereka. Hidup umpama peribahasa kais pagi makan pagi kain petang makan petang. Kesabaran mereka sahajalah yang menjadi penawar. Maka, hikmah ibadah puasa itu antara lain adalah untuk semua umat Islam sama-sama dapat berkongsi rasa susah itu.

Dalam tempoh 13 jam berpuasa, sudah tentulah kita akan berasa lapar dan dahaga. Jika bukan bulan puasa, sudah tentulah kita tidak akan bermasalah untuk mendapatkan makanan dan minuman untuk menghilangkan lapar dan dahaga. Tetapi, sepanjang bulan Ramadan, rasa lapar dan dahaga perlu ditahan sehinggalah tiba waktu berbuka.

Di sinilah hikmahnya yang perlu kita sedari. Dengan terasa sedikit lapar dan dahaga maka ingatan kita akan pergi kepada saudara-saudara yang miskin dan fakir. Mereka yang setiap hari hidup dalam lapar dan dahaga. Sedangkan kita setiap hari cukup makan cukup pakai. Justeru, perlu terbit rasa syukur setiap kali terasa lapar dan dahaga kerana Allah telah kurniakan nikmat yang luas kepada kita.

Lebih dituntut ialah selepas berasa lapar dan dahaga, kita bertindak pula untuk membantu orang-orang yang susah, miskin dan fakir. Bulan puasa adalah tempoh masa terbaik untuk kita giatkan amalan bersedekah dan infaq. Sedekahlah barang-barang keperluan atau makanan. Sedekahkanlah juga wang ringgit untuk membantu mereka. Ini akan membuktikan bulan Ramadan itu juga bulan kita berkongsi susah dan senang sesama semua umat Islam baik yang berada mahupun yang miskin dan fakir.

Tetapi, amat malanglah kita jika terasa lapar dan dahaga, apa yang terdetik di benak fikiran kita hanyalah "apa pula yang hendak dimakan semasa berbuka nanti.." Sepatutnya, minda kita akan berdetik "Alhamdulillah, rasa lapar ini mengingatkan aku kepada orang susah, miskin dan fakir.."

2 maklum balas:

ozzy said...

Assalam..

Itulah yg sering kita dengar "nak berbuka nanti dengan apa" krn kita sebenarnya mewah.

abgreds said...

Assalamualaikum wbt. Hisyam…

Cabaran besar bagi kita untuk menyerap dan menghayati erti sebenar berpuasa tanpa dugaan lapar yang sebenar-benarnya…

Post a Comment

Powered by Blogger.