12 August, 2011

Ramadan Juga Tidak Terlepas Daripada Isu


Datangnya setahun sekali. Membawa berkat dan ganjaran pahala berganda. Inilah masa terbaik untuk berpesta ibadah selepas sebelas bulan kita leka dengan pelbagai jenis pesta-pestaan yang melekakan.

Namun, nampaknya Ramadan yang suci murni juga terheret sama dalam situasi semasa yang 'semua dinilai daripada kaca mata politik' serta 'hal antara agama menjadi tajuk arus perdana'.

Harapan untuk melihat Ramadan yang aman sudah berkecai. Tumpuan untuk berpesta ibadah sudah terjejas. Tanpa perlu disuruh, tarikan untuk mengikuti perjalanan Ramadan dengan isu-isu menjadikannya tidak lagi berlabel bulan ibadah.

Seawal Ramadan timbul isu berbuka puasa di gereja. Di antara persoalan aqidah dengan persoalan politik, isu ini sudah berpanjangan selama sepuluh hari. Masih belum ada tanda-tanda penyelesaiannya. Timbul pula rentetan-rentetan seperti kenyataan media, demonstrasi dan lain-lain yang menghangatkan lagi suasana. Akhirnya, tumpuan Ramadan sebagai bulan ibadah sudah teralih secara tidak langsung.

Diikuti pula dengan kontroversi iklan-iklan yang ditayangkan di TV arus perdana. Juga berlaku di awal Ramadan, intipati iklan yang dikatakan mempromosikan Ramadan itu bertukar menjadi medan kecaman. Dikecam kerana seperti tidak sensitif dengan kemuliaan Ramadan. 3 iklan yang disiarkan hanya menjurus kepada hal ehwal makanan, makanan dan makanan. Sedangkan, Ramadan itu jauh lebih besar daripada soal makanan semata-mata.

Terbaharu apabila akhbar harian berbahasa Inggeris juga hendak tumpang semangkuk. Tanpa mengambil kira sensitiviti, Ramadan Delights dipromosikan dalam sisipan mereka dengan mencampurkan menu masakan vavi yang tidak halal. Sudahlah menggunakan jenama Ramadan untuk tujuan komersial, gunakan pula menu vavi yang sangat sensitif di kalangan umat Islam. Ternyata, Ramadan seperti terus diperlekehkan oleh golongan yang langsung tidak sensitif. Namun, kenyataan maaf yang dibuat oleh Ketua Pengarangnya adalah sangat-sangat dialu-alukan.

Begitulah nasibnya Ramadan selepas 1432H ini. Adakah terlalu murah dan mudah imej Ramadan diperlekehkan sampai sebegitu. Marilah kita sama-sama bermuhasabah.

3 maklum balas:

akuanakpahang said...

Tetap sedih dengan semua situasi yang melanda umat islam hari ini.

APAN said...

erm...harap baki mendatang dlm bulan ramadan ni xde la isu2 gitu...
selamat berhari raya tuan blog :)

Nizam said...

Tak abis2 ande yang mengaco...

Post a Comment

Powered by Blogger.