06 October, 2011

Tangani Kekeliruan Hudud Dengan Pendidikan


Selepas lebih dua minggu isu Hukum Hudud dijadikan tajuk lagu tari gendang, minggu ini sedikit surut apabila tumpuan dialihkan kepada persidangan Dewan Rakyat. Begitulah, selepas riuh huha huha, adakah bola yang disepak ke sana sini sudah disumbatkan ke dalam gol? Persoalan yang perlu dijawab, siapakah yang untung? Adakah agama Islam mendapat manafaat?

Kalau disemak semula kronologi plot-plot episod drama ini dari sudut politik, semua pemain politik bertempik sorak mengulas dan mengomen mengenainya. Namun, dalam isu Hudud ini saya berpendirian jelas untuk menyokong segala usaha PAS Kelantan untuk melaksanakannya. Apa lagi pilihan yang ada, jika kita berdepan dengan hukum ALlah?

Namun, respon pelbagai dari sudut pandang politik tidak menyelesaikan isu ini sehingga penamatnya. Akhirnya, keuntungan tidak berpihak kepada agama Islam. Lebih menyedihkan, imej Hudud menjadi negatif.

Sekarang adalah masanya -- selepas pemain-pemain politik berhenti mengulas itu dan ini -- untuk mendidik ummat mengenai hukum Hudud ini. Ummat perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya. Ini penting supaya ummat mempunyai set minda yang benar-benar memperakui Hudud dan bersedia untuk melaksanakannya.

Biarlah pemain-pemain politik dengan isu-isu mereka yang tidak berkesudahan. Pada masa kini, wacana-wacana akan mula mnegambil tempat untuk mendidik ummat. Peranan pertubuhan dakwah akan mengambil alih isu Hudud untuk memberikan kefahaman kepada ummat.

Selain kefahaman kepada ummat Islam sendiri, perlu juga diberikan perhatian kepada rakan-rakan yang non-Muslim. Mereka juga mengambil tahu mengenai Hudud, mereka juga tidak tahu keseluruhannya mengenai Hudud. Jika kefahaman tidak diterapkan kepada non-Muslim, akhirnya mereka akan menjarakkan diri dan mungkin juga akan mengambil sikap menentang.

Sebagai ummat Islam, kita perlu menambahkan ilmu pengetahuan kita mengenai Hudud. Sertailah mana-mana wacana yang dianjurkan, bacalah tulisan-tulisan yang berkaitan dan teruskan perbincangan untuk meningkatkan keilmuwan kita mengenai Hudud.

1 maklum balas:

Hayati A.G said...

setuju sangt, daripada bercanggah pendapat, lebih baik mendidik umat tentng apa itu hudud supaya mereka tahu apa tentang hukum tersebut daripada mmbuat isu itu menjadi lebih "dramatik"..wallahualam

Post a Comment

Powered by Blogger.