31 January, 2012

Pertahankan Nabi Muhammad Dan Islam Di Internet (Bahagian 1)


Sempena dengan bulan Maulidul Rasul - Rabiulawwal ini, marilah kita menyemarakkan rasa cinta dan kasih kepada Baginda Ar-Rasul. Perbanyakkanlah salam dan selawat ke atas Baginda.

Berikut satu artikel yang diubahsuai daripada artikel-artikel saya sebelum ini bersempena dengan Maulidur Rasul kali ini. Selamat membaca..

*******************************************

PERTAHANKAN NABI MUHAMMAD DAN ISLAM DI INTERNET

Sejarah perjuangan dakwah Nabi Muhammad SAW memang tidak pernah lekang daripada seribu satu macam cabaran. Penghinaan ke atas gerak kerja dakwah Baginda bemula sejak dilantik menjadi penutup segala Nabi dan Rasul sehinggalah ke hari ini. Penghinaan ini adalah manifestasi sikap biadap yang dijelmakan daripada kejahilan aqidah dan kemerosotan adab-akhlak umat manusia itu sendiri.

Menurut Moenawar Khalil (2001) dalam bukunya Kelengkapan Tarikh Nabi Muhammad Volume 1 menceritakan bahawa penghinaan yang dilakukan Abu Lahab terhadap Nabi Muhammad cukup ketara. Hal ini apabila Abu Lahab menemui ketua-ketua Quraisy dan menyebarkan cerita-cerita buruk mengenai Nabi Muhammad. Begitu juga perbuatan Aura (isteri Abu Lahab) yang mengejek Nabi Muhammad apabila Baginda ditimpa demam disebabkan tangannya yang cedera dilempar batu. Aura yang berpura-pura menziarahi Baginda telah berkata : “syaitan kamu sudah tidak mengunjungi kamu sehingga aku sudah tidak melihat kamu keluar rumah untuk menyebarkan berita ajaib kamu itu.”

Penghinaan berterusan apabila Nabi Muhammad SAW mula berdakwah secara terang-terangan. Mohammad Zazuli (2009) dalam bukunya 60 Tokoh Dunia Sepanjang Masa menjelaskan apabila dakwah secara terang-terangan dimulakan, maka muncullah pelbagai halangan, gangguan, fitnah, pemboikotan, penghinaan, bahkan penyiksaan kepada Baginda dan pengikutnya. Semasa di Thaif, Baginda dihina secara fizikal pula apabila dilempari dengan batu sehingga cedera kepalanya.

Namun, apa yang dikesalkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad masih berterusan sehingga ke hari ini, walaupun Baginda SAW sudah wafat sekian lama dan susuk tubuhnya sudah tidak lagi bersama kita. Kebencian yang tetap subur di kalangan musuh Islam seringkali dijelmakan dalam bentuk tindakan-tindakan provokasi yang secara tidak langsung menghina peribadi Ar-Rasul. Apatah lagi dalam dunia revolusi maklumat yang ditunjangi teknologi Internet dan fahaman globalisasi masa kini. Medium komunikasi tanpa sempadan juga digunakan oleh musuh-musuh untuk terus-terusan menghina manusia agung bernama Muhammad SAW ini.

Seorang kartunis Amerika Syarikat, Molly Norris, pernah menggemparkan umat Islam apabila dia menganjurkan ‘Everybody Draw Muhammad Day!’ pada 20 Mei 2010 lalu. Dia telah menggunakan Facebook untuk menghebahkan usaha hina itu dan sambutannya memang luar biasa. Pada hari berkenaan, dicatatkan 41,000 pengguna Facebook yang memasukkan lakaran kartun Nabi Muhammad dalam akaun Facebook mereka. Atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan berkarya, kempen ini dianjurkan sebagai tindak balas kepada penyaringan rancangan siri TV South Park berjudul 201 oleh penerbitnya, Comedy Central selepas terdapat ancaman bunuh terhadap kartunisnya yang membuat lakaran wajah Nabi Muhammad dalam kostum beruang di dalam siri TV tersebut.

Dalam dunia pemblogan juga menyaksikan penghinaan ke atas Baginda Ar-Rasul. Kemunculan blog Adibah Ahmad sedikit masa dahulu telah menggemparkan komuniti Islam di negara kita. Blog tersebut telah memuatkan kandungan-kandungan yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam secara keterlaluan tanpa batasan. Ramai yang mengkritik dan marah dengan kandungan blog ini kerana dengan sengaja menghina agama Islam. Walaupun apa yang berlaku adalah manipulasi teknologi apabila maklumat peribadi Adibah Ahmad (yang dipaparkan di laman Friendster) seperti nama penuh, nombor telefon pejabat, alamat pejabat telah digunakan oleh pihak ketiga dengan mewujudkan blog dan meletakkan Adibah Ahmad sebagai pemiliknya, perkara ini hendaklah dipandang serius oleh komuniti Muslim. 
 
..... bersambung ke Bahagian 2...

3 maklum balas:

LIPISLADY said...

Assalamualaikum En Hisyam,

Sebagai contoh sahaja,ada juga umat Islam yang menghina Nabi Muhammad dengan mengatakan poligami itu sunnah Rasul, sedangkan apa yang di praktikkan selepas berpoligami, jauh menyimpang dari apa yang di amalkan oleh Rasulullah.

akuanakpahang said...

Assalam sahabat, semoga semuanya dirahmati dan diberkatinya jua amin.

Hisyam Muhibah said...

Kak LL - setuju.

AAP - Amin..

Post a Comment

Powered by Blogger.