06 February, 2012

Pertahankan Nabi Muhammad Dan Islam Di Internet (Bahagian 2)

Posting ini sambungan daripada artikel Pertahankan Nabi Muhammad Dan Islam di Internet (Bahagian 1)...


Begitu juga dengan blog Rasul Melayu Kahar Ahmad yang jelas menyebarkan ajaran sesat yang jauh menyimpang daripada ajaran sebenar Islam. Apabila Rasul juga menulis di blog maka sudah tentulah kegemparan masyarakat yang dipancingnya. Pelbagai tulisan yang mempersoalkan tengan kerasulan Nabi Muhammad selain tafsiran semula ayat-ayat Al-Quran untuk kepentingan peribadi yang sempit sarat terkandung dalam blog ini. Ketika isu Rasul Melayu hangat diperkatakan, blog ini telah berjaya dimusnahkan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Geng 26 selain daripada laporan “Flag” yang dibuat oleh pembaca-pembaca Muslim yang benar-benar menyayangi agama Islam dan ajarannya yang tulen.

Laman perkongsian video YouTube juga menjadi saluran untuk menghina Nabi Muhammad dan agama Islam. Klip-klip video pendek yang sangat mudah dihasilkan dan dimuatnaikkan ke YouTube menjadikan ianya saluran yang sangat sesuai untuk menyerang dan menghina Islam dan Nabi Muhammad. Pernah umat Islam tersentuh emosinya apabila klip video seorang Paderi bernama Benjamin Stephan yang sedang berceramah di dalam gereja secara terang-terang menghina Islam dan Nabi Muhammad. Walaupun Benjamin berceramah di hadapan penganut agama Kristian sahaja, tetapi apabila dimuatnaik ke laman YouTube tanpa diedit ternyata mengundang kemarahan umat Islam.

Terbaharu apabila muncul pula satu blog yang menghina Islam dan Nabi Muhammad iaitu blog Makcik Hajjah Siti Al-Wuzara. Selain blog, akaun Facebook menggunakan nama yang sama juga wujud untuk tujuan yang sama : menghina Allah, Nabi Muhammad dan agama Islam. Penghinaan secara khusus kepada Nabi Muhammad di dalam blog tersebut anta lain disebutkan “Babi Muhammad kaki pendusta, penyangak padang pasir Arab yang maha menyesatkan. Mari bongkarkan rahsia peribadinya yang keji itu!!” Kejahilan pemilik blog ini mengundang reaksi umat Islam di negara ini yang sama sekali tidak dapat menerima tindakan sebegitu.

Dalam keadaan perkembangan teknologi Internet dan rangkaian komputer yang terus berkembang, tindakan-tindakan negatif yang menyentuh sensitiviti agama memang tidak dapat dihalang. Perasaan benci dan sakit hati kepada Islam memang sudah diketahui tersemat di jiwa musuh-musuh Islam. Saluran Internet dimanfaatkan untuk menyemarakkan lagi perasaan tersebut. Bagi umat Islam pula, satu bentuk tindakan startegik perlu dilakukan supaya peribadi Nabi Muhammad serta kesucian agama Islam tidak diperlekehkan di dunia siber.

Perlu banyak laman web dan laman blog yang mempromosikan Islam sebagai agama yang sebenar dibina dan diusahakan segera. Ini bagi memberikan mesej mengenai agama Islam supaya penganut agama lain akan dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap agama Islam itu sendiri. Laman-laman rangkaian sosial pula perlu dimanfaatkan untuk tujuan dakwah fardiyah kepada golongan sasaran secara khusus. Ulasan-ulasan dan komen di laman rangkaian sosial perlulah menjurus kepada mesej agama Islam yang tulen. Dalam masa yang sama, lebih banyak klip-klip video berkaitan Islam dihasilkan dan disebarkan di laman perkongsian video. Ini akan memberikan maklumat yang lebih meluas mengenai agama Islam dan akan dapat menangkis salah faham, salah tanggap dan salah tafsir terhadap agama Islam. 
 
 

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.