27 April, 2012

Tema Pesta Buku: Dalam Dunia Tanpa Sempadan, Buku Boleh Atasi Internet


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada acara tahunan yang sangat mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia. Ternyata rakyat yang menghargai buku dan ilmu tidak pernah berkurang. Industri penerbitan buku juga berkembang dengan baik. Pelbagai genre tulisan dapat dilihat dalam pasaran buku sekarang.

Tahun 2012 ini, PBAKL bermula hari ini 27/4/2012 sehingga 6/5/2012. Tempat seperti biasa di PWTC. Sehingga hari ini, saya sendiri belum dapat kenalpasti tarikh paling sesuai untuk pergi shopping buku di sana.

Satu perkara menarik untuk dibincangkan ialah tema yang dipilih oleh penganjurnya. Temanya adalah "Buku : Dunia Tanpa Sempadan". Pada saya ianya sangat menarik kerana selama ini (atau dalam masa 15 tahun ke belakang) frasa Dunia Tanpa Sempadan dikaitkan dengan Internet dan teknologi rangkaian komputer. Internet telah menjadikan maklumat berada di hujung jari serta komunikasi sedunia menjadi sangat mudah.

Justeru, sempadan fizikal tidak lagi menjadi batasan kepada manusia seluruh dunia. Kita berpegang kepada dunia ini tiada lagi sempadan konvensional.

Tetapi, apabila buku dikaitkan dengan dunia tanpa sempadan, itu menjadi sangat  menarik untuk dibincangkan.

Mungkin saja penganjur mahu menjelaskan bahawa buku sekarang boleh dibeli dan diperolehi dari seluruh dunia dengan mudah apabila menggunakan Internet.

Mungkin juga isi kandungan yang digarap oleh penulis buku boleh dicapai dengan mudah dengan wujudnya e-book pada masa sekarang.

Mungkin juga komunikasi dengan penulis-penulis buku dari seluruh dunia menjadi lebih mudah dengan memanfaatkan teknologi Internet.

Namun, ada satu perkara yang buku berjaya menandingi Internet dalam dunia tanpa sempadan ini. Itulah yang dirujuk sebagai kredibiliti kandungan sesebuah buku jauh lebih tinggi berbanding isi kandungan Internet (di dalam laman web, blog, forum, laman sosial, dll).

Kandungan sesebuah buku ditulis berdasarkan kajian dan fakta. Sebelum diterbitkan, kandungan akan disemak dulu oleh pihak lain yang mempunyai autoriti.

Buku juga mempunyai penulis dan penerbit yang jelas. Bermakna soal kebertanggungjawaban kepada maklumat yang disebarkan tidak boleh dipertikaikan.

Kesimpulannya, dalam dunia teknologi pantas zaman semasa, buku tetap ada tempat yang mulia.

2 maklum balas:

Nafisa81 said...

buku masih menjadi bahan ilmiah utama dunia..

pacifist said...

assalam tuan.pekabo?harap semua ok.lama x jejak sini.tahun ni sy x berkesempatan ke pwtc

Post a Comment

Powered by Blogger.