27 May, 2012

Pasca Debat PTPTN; Debat Politik Wajar Diperluas


Umum sudah maklum - ramai yang mengikuti - bahawa debat bertajuk "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidkan Tinggi Negara" sudah selesai dilaksanakan. Dua tokoh politik muda telah tampil megemukakan idea dan tawaran mereka mengenai PTPTN. YB Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO/BN sudah tentu membawa suara partinya, manakala Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategik PKR pula mengemukakan tawaran pengajian tinggi percuma jika PR berjaya mengambil alih Putrajaya.

Tidak perlu menentukan siapa menang dan siapa kalah dalam debat ini. Itu bukan matlamat utama penganjurannya. Malah isu khusus yang dijadikan sebagai tajuk juga - PTPTN - tidaklah menjadi fokus untuk dilaksanakan segera selepas debat. Semuanya bergantung kepada keputusan PRU13 nanti. Hari-hari selepas debat sehinggalah selesai PRU13 nanti, peminjam-peminjam PTPTN masih perlu menjelaskan hutang mereka, manakala siswa siswa yang sedang mengikuti pengajian di IPTA/S pula, akan terus menerima pinjaman tersebut setiap semester.

Apa yang lebih penting ialah kedua-dua pendebat muda ini telah membuka lembaran baru dunia politik negara. Debat untuk menawarkan idea dan mengupas isu semasa bagi mencari penyelesaian boleh dilihat sebagai satu proses kematangan politik dan demokrasi progresif yang perlu diterima semua. Melalui sesi debat sebegini, rakyat akan mendapat maklumat dan fakta yang lebih berintegriti berbanding maklumat yang berbentuk persepsi malahan maklumat auta sahaja di dalam ceramah-ceramah umum politik.

Justeru, momentum debat perlu diteruskan terutama menjelang PRU13. Wacana dan debat yang berlangsung di peringkat kebangsaan sangat wajar dibawa turun ke peringkat negeri, parlimen dan DUN. Maka, elok sangatlah jika semua calon yang akan bertanding semasa PRU13 nanti dipertemukan dalam sesi debat semasa tempoh berkempen nanti. Persoalannya, adakah rakyat sudah bersedia untuk menerima budaya baru politik ini? Saya yakin saja. Namun, persoalan yang lebih membimbangkan saya ialah : "Adakah ahli-ahli politik terutama calon-calon PRU13 sudah bersedia?"

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.