28 May, 2012

Singgah Solat - Hentian Tapah Arau Utara

Segmen Singgah Solat ke 4 ialah di Hentian RnR Tapah Arah Utara. Tempat ini menjadi tumpuan ramai orang khususnya pengguna Lebuhraya Utara Selatan. Saya singgah di sini untuk menunaikan solat dan berehat semasa menuju ke USM untuk menyertai delegasi KIPSAS bagi mewujudkan kerjasama akademik.

SS4 dibuat pada 11/3/2012 pada jam 9.10 malam (penghujung waktu puncak).

Surau di Hentian RnR Tapah Arah Utara ini sangat mudah untuk dicari. Terletak berdekatan dengan kawasan parkir kereta dan 'food court'. Selepas selesai menjamu selera, orang ramai boleh terus menuju ke surau untuk menunaikan solat pula.

Ruang solat bermozek dapat mengelakkan bau hapak yang kebiasaannya berlaku pada permukaan karpet yang lembap. Mozek juga dipasang dengan membezakan mozek untuk barisan saf solat. Ini sangat memudahkan jemaah untuk memastikan saf dalam keadaan lurus. Sejadah juga disediakan untuk menambah keselesaan menunaikan solat.

Terdapat juga naskah Al-Quran dan kopiah yang mencukupi. Orang ramai boleh menggunakannya di surau ini.

Paling menarik apabila pihak pengurusan surau menyediakan panduan 'Solat Musafir' untuk membantu pengguna yang mengunjungi surau ini. Memang jarang terdapat surau-surau di hentian lebuh raya yang menyedian panduan sebegini. Ia sangat penting kerana secara pemerhatian rambang, masih terdapat orang ramai yang menunaikan solat secara 'tamam' walaupun mereka sedang dalam pemusafiran.

Cermin juga disediakan untuk pengguna menghias diri sebelum meninggalkan surau.

Tempat wuduk yang disediakan dikira mencukupi dan terletak di sebelah tepi sebelum pintu masuk ke surau. Keadaannya juga bersih.

Tempat wuduk tambahan disediakan di luar surau bagi menampung keperluan pengguna khususnya di waktu puncak.

Secara keseluruhannya, surau Hentian RnR Tapah Arah Utara ini adalah baik dan perlu disinggah untuk menunaikan solat selepas berehat atau mengisi perut di hentian ini. Namun, ada beberapa perkara yang perlu menjadi perhatian pihak pengurusan surau. Antaranya ialah, pengguna tidak akan duduk lama di dalam surau kerana ruangnya yang sederhana besar serta sistem pengudaraan yang tidak sistematik. Tingkap yang terhad akan menyebabkan pengguna 'lemas' dan berasa panas terutama apabila waktu puncak.

Apa-apa pun, tahniah kepada pengurusan surau ini.


0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.