01 June, 2012

Isu Kpop; Buka Sekadar Pakaian Seksi, Tetapi Hiburan Melampau


Himpunan Jutaan Belia 2012 yang berlangsung minggu lalu di Putrajaya sudah selesai dianjurkan. Sebanyak 500 lebih aktiviti dilaksanakan sepanjang 5 hari diadakan. Menurut laporan, kehadiran belia dan orang ramai mencecah sasaran 2 juta orang sebagaimana yang ditetapkan oleh Perdana Menteri. Menteri Belia dan Sukan boleh berbangga kerana KPInya sudah tercapai.

Namun, dalam banyak-banyak aktivit yang dilaksanakan, ada dua yang menjadi perhatian umum walaupun selepas karnival selesai dilaksanakan. Dua aktiviti itu sudah tentulah Persembahan Kpop dan Insiden Kemalangan Drag.

Insiden kemalangan drag boleh dianggap selesai. Yang masih menjadi bahan bualan ialah Persembahan Artis Kpop dari Korea.

Kritikan demi kritikan diberikan terhadap acara ini. Tahun lalu, satu kumpulan Kpop di bawa ke Himpunan Belia. Tahun ini, lebih banyak. Malah, lebih mengecewakan apabila artis tampil dengan pakaian yang sangat tidak sesuai dengan budaya masyarakat di Malaysia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam, melalui menterinya sudah memohon maaf kepada semua pihak. Selepas ditegur oleh SS Mufti Perak dan kritikan orang ramai, wajarlah Menteri KBS mengeluarkan kenyataan maaf tersebut. Laporan Sinar Harian mengenainya boleh dibaca di sini : KBS mohon maaf konsert K-Pop.

Namun, yang menjadi keprihatinan dan kritikan orang ramai, bukanlah semata-mata pakaian artis yang seksi. Lebih daripada itu adalah bantahan kepada hiburan melampau yang dihidangkan kepada belia-belia Malaysia. Seolah-olah setiap kali aktiviti berkaitan dengan belia, mesti disertakan dengan elemen hiburan. Atau juga setiap karnival yang dianjurkan, mesti ada acara persembahan artis di pentas utama.

Kpop adalah lambang selera anak muda belia pada masa kini. Selera dan permintaan inilah yang cuba dipenuhi supaya 'engagement' dengan belia dilihat kukuh dan kemas. Namun, kita perlu sedar bahawa Kpop itu semata-mata hiburan yang melekakan. Ia membawa gaya hidup jiwa santai hiburan yang bersifat sementara.

Eloklah KBS menilai semula semua maklum balas yang diterima. Kami mahu pembinaan generasi belia yang positif, memikirkan masa depan negara. Bukan semata-mata mengejar kuantiti demi KPI sehingga majoriti belia masih terbuai leka dan lena.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.