03 February, 2013

Pelaksanaan Gaji Minimum; Strategi Majikan


Umum sudah mengetahui akan arahan pelaksanaan Gaji Minimum berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Kadar gaji minimum yang ditetapkan ialah RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung Malaysia, manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Mengikut Akta Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama, jika terus ingkar, denda RM1,000 setiap pekerja sehari, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Majikan-majikan swasta terpaksa akur dengan arahan ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang. Dari sudut pekerja, sudah tentu ianya merupakan berita gembira. Diharapkan golongan pekerja dapat meningkatkan prestasi kerja mereka selari dengan kenaikan gaji ini.

Bagi pihak majikan sudah tentulah arahan gaji minimum ini menjadi kos overhead terbaru mereka. Gaji perlu dinaikkan dan selepas ini potongan KWSP dan SOCSO juga perlu dinaikkan. Sesetengah majikan tidak menyukai kenaikan kos operasi jika tiada jaminan peningkatan produktiviti dan kenaikan keuntungan.

Apa pilihan yang ada pada majikan? Pertamanya, akur pada arahan ini dan sediakan peruntukan lebih besar untuk membayar kenaikan gaji, potongan KWSP dan SOCSO. Manakala pilihan keduanya ialah akur dengan arahan ini serta mengecilkan saiz operasi dengan mengurangkan pekerja. Inilah masa untuk membuat penstrukturan semula sumber manusia supaya kos operasi tidak meningkat mendadak serta kapasiti pekerja boleh 'dipulas' atau dioptimumkan ke tahap maksimum.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.