14 July, 2013

Berbahagialah Kamu Wahai Kerusi

sumber gambar
Hujan renyai-renyai seusai sahur sangat menyegarkan. Terasa semangat untuk menunaikan solat Subuh berjemaah kuat membara. Apatah lagi dengan keberkatan Ramadan yang pahala sunat seperti pahala wajib, pahala wajib digandakan berkali-kali ganda. Selipar disarungkan berhati-hati, bimbang tergelincir dek tapaknya yang sudah haus.

"Bismillahirrahmanirrahim..." perlahan tetapi jelas terpancul keluar daripada mulut Raif seiring dengan kaki kanannya menyarung selipar. Langkah dihayunkan menuju surau Kampung Kalang Simpangan.

"ALlahu Akbar, ALlahu Akbar. Lailaha illaLlah........" Tok Bilal menyudahkan laungan azan tatkala Raif tiba di pagar surau. Tanpa melengahkan masa dia terus masuk dan menunaikan solat qabliyah Subuh. Dia sangat yakin dengan hadith ar-Rasul yang mengutamakan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh lebih ditunaikan bersungguh-sungguh oleh Baginda berbanding solat-solat sunat yang lain.

Solat sunat dua rakaat dikerjakan Raif tanpa mengambil masa yang panjang, tetapi masih dalam tertib dan rukunnya. Di penghujung solat dalam tahiyat, Raif mengungkapkan salam dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW, begitu juga kepada Nabi Ibrahim sebelum salam ke kanan diberikan untuk menamatkan solat.

Semasa dia berpaling ke kanan, matanya terpandang kepada kerusi besi berwarna biru yang dilipat kemas bersandar di dinding surau. Ada dua kerusi di situ. Jelas tertulis "Kerusi Untuk Solat Sahaja" pada kerusi itu. Ingatannya terus berlegar-legar ke beberapa surau dan masjid lain yang pernah dia singgah untuk menunaikan solat. Masjid UPM di Serdang, begitu juga Masjid Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di Kuantan. Ingatannya juga berlegar-legar ke Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan apabila pernah terlihat jemaah yang hadir bersama anak kecil. Anak itu membawa bersama kerusi lipat.

Benar, kerusi itu digunakan untuk membantu jemaah menunaikan solat.

Fikiran Raif terus dipaksa berfikir mengenai kerusi yang bersandar di dinding surau itu. Perkara pertama yang terbit dalam mindanya, 'prihatin dan proaktif'. Jawatankuasa surau ini dan surau serta masjid yang lain sentiasa berusaha menguruskan surau supaya mesra jemaah. Jemaah yang pelbagai ragam dan keadaan terutama yang sudah uzur dan berusia perlu ditangani sebaik-baiknya. Memang ramai jemaah yang sudah sakit lutut dan kaki. Tidak lagi boleh duduk tahiyat dengan sempurna dan lama-lama. Ramai juga solat duduk secara berlunjur sahaja kerana lututnya yang sudah kering air pelincirnya. Kerusi-kerusi sebeginilah penyelesaiannya. Solatlah mereka secara duduk di kerusi.

Ibadah solat tiada kompromi, pening sakit tolaklah tepi, kepada ALlah jua harus ditaati, supaya mudah di Mashyar nanti.

Tok Bilal sudah bangun. "Saffff...." dilaungnya sederhana keras. Angin dingin hujan memasuki surau melalui lubang-lubang angin di dinding surau. Segar dan menyegarkan. Sempat Raif memandang ke dinding surau sekali lagi. Haji Rashid mengambil kerusi biru, membukanya dan meletakkan dihujung kanan saf. Lalu, segera dia duduk di kerusi itu. Ingatan Raif kembali setahun yang lalu apabila ibunya memberitahu Haji Rashid kemalangan di simpang masuk ke kampung. Kaki kanannya patah akibat dihentam kereta. Selepas pulih kakinya sukar untuk dilipat, tentu cepat lenguh kalau tak terasa sakit.

Tok Imam mengambil tempat, dua rakaat wajib dipimpinnya dengan sempurna. Seusai solat, wirid dan zikir dipimpin oleh Tok Imam. Doa menyusul pula selepas itu. Bersungguh benar Tok Imam membacakan doa, berkat Ramadan lah itu namanya. Perhimpunan solat pagi itu disudahi dengan bersalam-salaman sambil berselawat sesama jemaah.

Raif sekali lagi memandang kepada kerusi biru di dinding surau. Haji Rashid sudah meletakkan semula kerusi biru itu di tempat asalnya.

Tatkala melangkah keluar dari pintu surau, fikiran Raif berlegar-legar sekali lagi. Hatinya berdetik. "Berbahagialah kamu wahai kerusi, kamu digunakan untuk menyembah ALlah yang Maha Esa. Kamu dimanfaatkan di Rumah ALlah yang mulia. Kamu sering mendengar ayat-ayat suci KalamNYa jua. Bandinglah dengan kawan-kawan kamu yang lain. Ada yang digunakan untuk membantu manusia memuaskan nafsu mereka berjudi di pusat-pusat judi. Ada juga yang berkhidmat dalam bilik-bilik mesyuarat yang merancang maksiat kepada Allah. Malah ada juga kawan-kawan kamu yang digunakan oleh bapak-bapak ayam yang menungu pelangan di rumah-rumah pelacuran."

"Berbahagialah kamu wahai kerusi"

2 maklum balas:

humble.yat said...

kalau lah saya jadi kerusi...tentu mahu jadi kerusi yang bahagia..yang sentiasa berbakti untuk kebaikan dan kebajikan:-)

Nafisa81 said...

simple story,tp menyentuh hati

Post a Comment

Powered by Blogger.