01 September, 2015

Memaknakan Merdeka


Tidak kiralah bagaimana cara setiap daripada kita menyambut Hari Kebangsaan ke 58 semalam. Ada yang menghadirkan diri ke lokasi-lokasi sambutan, ada yang menyertai perbarisan atau persembahan, dan tidak kurang juga yang tidak melakukan apa-apa untuk  menyambutnya.

Terpulanglah kepada gaya hidup masing-masing.

Namun, jauh lebih penting daripada sambutan adalah penghayatan kepada makna kemerdekaan itu sendiri. Penghayatan ini lah yang akan diterjemahkan dalam bentuk sambutan atau ekspresi diri terhadap hari merdeka itu sendiri. Tanpa, meninggikan martabat mereka yang mempunyai penghayatan tahap tinggi begitu juga tidak meremehkan taraf mereka yang menghayati merdeka di tahap yang minimum, kita perlu punya faham yang jelas mengapa kita perlu merdeka.

Merdeka membawa makna pembebasan (tahririy) dan pencerahan (tanwiriy) kepada setiap umat manusia. Pembebasan yang mutlak ialah apabila tiada halangan untuk menyembah ALlah SWT semata-mata. Ini jelas tercatat dalam dialog di antara Rabi' ibnu Amir ketika berhadapan dengan Rustum panglima perang kerajaan Parsi selepas ditanya mengenai tujuan mereka mahu menyertai peperangan Qadisiyyah tersebut.

Dengan penuh yakin, Rabi' menegaskan misi mereka menyertai peperangan ke atas kerajaan Parsi tersebut adalah untuk membebaskan manusia daripada belenggu perhambaan sesama hamba kepada penghambaan kepada Tuhan hamba.

Misi yang jelas beginilah yang akan mendorong usaha-usaha pencerahan kepada ummat dapat diluaskan. Justeru, merdeka mestilah dilihat apabila jasmani kita diBersihkan daripada perbuatan yang menjurus kepada dosa dan maksiat. Emosi kita pula akan merdeka apabila diBersihkan daripada terkena penyakit hati dan sangkaan buruk. Rohani pula dimerdekakan apabila diBersihkan daripada penyembahan selain daripada Allah manakala Intelek kita pula merdeka apabila diBersihkan daripada usaha pencerdasan ummat yang terikat dengan kepentingan kelompok tertentu dalam masyarakat.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.