24 July, 2017

Pelajaran Daripada Tangki Air Kompleks Teruntum


Masih segar dalam ingatan ketika pertama kali kaki ini menjejak bumi Kuantan pada tahun 1992 untuk mengikuti latihan pusat Bola Baling MSSM untuk kontinjen MSS Pahang, salah satu tempat yang saya pergi ialah Kompleks Teruntum. Memang meriah, aktiviti perniagaannya hidup, lot kedai penuh disewa oleh peniaga.

Itu cerita 25 tahun lepas tatkala hanya Kompleks Teruntum satu-satulah sahaja kompleks membeli belah yang ada di bandar Kuantan (mungkin silap - betulkan kalau saya silap). Kompleks yang mula beroperasi Januari 1980 sehebat kompleks membeli belah di Kuala Lumpur.

Semalam, warga Kuantan digemparkan dengan peristiwa tangki air di bumbung kompleks ini pecah dan melimpahkan airnya ke bawah. Tembok konkrit yang dihentam air pecah dan jatuh menimpa motorsikal dan kereta yang diparkirkan di belakang kompleks ini.

Maka, pengajaran penting yang perlu diambil dalam kejadian ini sudah tentulah budaya penyelenggaraan bangunan dan kelengkapannya mestilah dalam keadaan tip top. Pemilik-pemilik bangunan yang lain terutama yang sudah berusia - seusia Kompleks Teruntum - yang terdapat di daerah Kuantan atau di mana sahaja di negara ini, wajarlah mengambil langkah drastik untuk memeriksa keadaan tangki air yang terdapat dibangunan mereka.

Sebenarnya, memang pemeriksaan ada dibuat oleh pemilik-pemilik bangunan. Tinggal lagi, kejadian yang berlaku tentulah di luar jangkaan dan mungkin juga tidak difikirkan boleh berlaku.

Dalam ISO standard baru, ada dimasukkan klausa baru yang dinamakan Pengurusan Risiko. Sudah tentulah kes tangki air pecah ini akan menjadi contoh yang relevan untuk digunakan oleh auditor SIRIM dan jurulatih bagi memastikan supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang boleh memberikan impak dan risiko yang akhirnya akan menyebabkan kerugian dari segi kewangan serta nama baik organisasi.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.